Monday, July 20, 2009

Sembang Nisa' DUN Ladang yang penuh pengisian


Assalamualaikum kepada semua pengunjung blog Nisa’. Alhamdulillah, seperti yang telah dirancangkan sebelum ini, pada pagi 20 Julai baru-baru ini, program Sembang Family Nisa’ DUN Ladang telah dimeriahkan dengan kehadiran adik-adik dan sahabat-sahabat Nisa’ daripada hampir kesemua cawangan. Jelas kelihatan, keceriaan di wajah adik-adik dan sahabat-sahabat Nisa’ ini telah menambahkan lagi komitmen AJK majlis untuk menyempurnakan majlis yang dirancang.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai, dengan diketuai oleh Mak Wan, AJK Muslimat DUN Ladang. Disusuli pula dengan acara pengisian rohani, oleh Ustaz Kamaruzaman Abdullah, dengan tajuk “Mengertilah Jiwa Remaja Kami”. Supaya manfaatnya dapat dikongsi bersama, di sini disertakan ringkasan tazkirah tersebut.

Ustaz memulakan buah bicaranya dengan mengingatkan kepada para hadirin, bahawa sebenarnya Allah S.W.T tidak mengutamakan samada kaum Adam atau Hawa terlebih dahulu, dalam persoalan haq untuk memasuki syurga. Dalam erti kata lain, haq yang sama rata diberikan dalam hal ini. Malahan, orang yang pertama mati syahid di dalam sejarah, ialah daripada golongan Hawa, iaitu Sumayyah. Ujar ustaz lagi, hanya terdapat 2 syarat yang perlu dipatuhi oleh seseorang Muslimah, untuk memasuki syurgaNya, iaitu

1) melaksanakan kefardhuan (menurut hemat penulis, dikatakan kefarduan ialah kedua-duanya iaitu amar ma’aruf dan nahi mungkar)
2) taat pada suami (bagi yang telah berkahwin)

Manakala 2 punca, kenapa kaum Hawa terjerumus ke dalam neraka ialah:

1) kerana tidak menjaga mulut (bercakap perkara yang haram seperti mengumpat, mengeji dan sebagainya)
2) kerana tidak menjaga maruah (contohnya berpakaian tidak mengikut syariat)

Sebagai usaha yang berdikit-dikit ke arah itu, ustaz menegaskan, kita perlulah memulakannya dengan menjaga solat dengan sebaik-baiknya, sepertimana Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Ankabut, ayat 45, seperti berikut:

"Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."

Untuk merealisasikannya, ustaz mencadangkan agar Nisa’ turut melakukan usaha-usaha untuk menerapkan ilmu berkenaan Fiqhus-Solat (Fiqh Solat) ke dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankannya, agar ibadat solat yang dilakukan kita dapat diperbetulkan dan diperbaiki. Antara lain, termasuklah membetulkan bacaan Quran, kerana seperti yang kita ketahui, surah al-Fatihah yang menjadi rukun di dalam solat, perlu dibaca dengan tajwid yang betul.

Tidak terkecuali, kita juga perlulah melengkapkan diri dengan cabang-cabang ilmu yang lain seperti mu’amalat, munakahat, jinayah dan sejarah. Bercakap mengenai sejarah, ustaz meminta para hadirin agar mencontohi serikandi-serikandi di zaman Rasulullah S.A.W.

1) Bagi adik-adik dan remaja, mereka perlulah mencontohi Asma’ bin Abu Bakr, di atas kecekalan dan kegigihannyanya. Misalnya dalam sejarah, Asma’ diceritakan sanggup berulang-alik meredah bukit setiap hari, untuk menghantar makanan kepada Nabi S.A.W. yang bersembunyi di dalam sebuah gua pada waktu itu. Jagalah kesihatan dan kecergasan diri, sebagaimana Asma' yang mampu turun-naik bukit seorang diri demi Rasul dan ayahnya.
2) Bagi yang telah berkahwin pula, mereka diminta mencontohi isteri kepada Abu Hanzalah, yang rela dengan pemergian suaminya ke medan perang pada malam pertama mereka, kerana menyahut seruan Nabi S.A.W.
3) Bagi yang telah mempunyai anak pula, mereka diminta mencontohi Khansa' yang tegas terhadap anaknya, dengan menghantar kesemua mereka, satu demi satu ke medan perang bersama Nabi S.A.W. Akhirnya kesemua anak-anaknya telah syahid di medan perang, dan Khansa’ menangis kerana tiada lagi anaknya yang dapat beliau sumbangkan untuk perjuangan agama Allah S.W.T.

Sebagai penutup, ustaz mengajak adik-adik dan sahabat-sahabat Nisa’ untuk memperbaiki diri, berusaha menjadi seperti AIR MUTLAK (suci dan menyucikan), dan bukannya sekadar seperti AIR MUSTA’MAL (suci tapi tidak menyucikan). Perbandingan ustaz ini bermaksud, jadilah Muslimah yang solehah, yang mana bila manusia lain melihatmu, akan terkesanlah di hati mereka untuk turut menjadi solehah seperti dirimu juga.

Untuk itu, ustaz mengingatkan adik-adik dan sahabat-sahabat Nisa’ agar bijak mencari kawan untuk berdamping, kerana “seseorang muslim itu adalah cermin kepada muslim yang lain”. Bermaksud kawan yang baik akan memperbetulkan kesilapan yang ada pada kita, dan tidak hanya membiarkan atau mengiyakan sahaja. Wallahu ‘Alam.

Selepas sesi tazkirah ini, majlis diteruskan pula dengan “cabutan bertuah”, di mana pemegang-pemegang nombor bertuah yang dipanggil perlu menjawab 1 soalan berkaitan dengan tazkirah untuk mendapatkan hadiah. Pelbagai gelagat daripada peserta dapat dilihat. Selepas sesi penerangan menggunakan video oleh Ketua 3N, iaitu Kak Baity majlis diakhiri dengan sedikit jamuan yang menyelerakan.

Untuk akan datang, adik-adik Nisa' DUN Ladang sudah tidak sabar-sabar untuk ke sukaneka Nisa' bersama PAPISMA. InsyaAllah, bulan Ogos nanti.
Mak Wan memimpin bacaan Yasin







Ustaz Kamaruzaman Abdullah dan tuan rumah

Ketawa dengan celoteh ustaz...



Kak Da dan tuan rumah




Nyanyi lagu tema


Mak Wan speaking...


Berfikir untuk soalan cabutan bertuah


Kita soal ye... tak aci ibu dia soal...



Terima kasih tuan rumah!



0 komen diterima:

Post a Comment

 

©2009 . | by TNB