Sunday, November 22, 2009
Team Building Nisa' Terengganu: Ceria Bermotivasi
Nisa’ Negeri Terengganu telah mengadakan Team Building peringkat Negeri Terengganu di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI), Kubang Lembek, Manir pada 20 November 2009 yang lalu. Kehadiran peserta sangat memberangsangkan terutamanya dari beberapa institusi pendidikan sekitar Terengganu dan AJK-AJK Nisa’ peringkat kawasan. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan dari Ketua Nisa’ Terengganu, saudari Rohani Ramli dan ucapan oleh Dr Rosni Adam selaku Pengarah Nisa’ Malaysia . Team Nisa’ Malaysia turut serta hadir membentangkan organisasi baru serta perjalanan misi dan visi Nisa’ Pusat.
Untuk teambuilding kali kedua ini, penekanan terhadap Nisa’ Attitude yang diambil dari surah Al-Furqan, juga dibentangkan sebagai bekalan buat penggerak dan ahli Nisa’. Antara penekanan dalam Nisa’ Attitude ialah merangkumi spiritual, mental, emosi, mujahadah, rahmat dan ukhwah. Sebagai daie muda, kerja berdakwah seumpama “fishing” atau memancing yang memerlukan persiapan minda dan sentiasa positif dalam memfokuskan usaha.
Teambuilding kali ini turut diisi dengan dialog bersama Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, Puan Hajjah Zaroni Othman, Pengarah Nisa’ Pusat dan Ketua Nisa’ Terengganu. Pelbagai persoalan dilontarkan oleh peserta terutamanya dalam menjelaskan matlamat dan pendekatan dakwah Nisa’.
Selain pembentangan halatuju Nisa’ di bawah organisasi baru, pembentangan slot motivasi “Kenali Potensi Diri” oleh Ketua Unit Pembangunan Insan, Asyanti Abu Bakar menarik minat peserta-peserta terutamanya ahli Nisa’ di kalangan pelajar. Pembentangan yang bertujuan membantu jawatankuasa mengenalpasti kelebihan dan kelemahan penggerak Nisa’ ini juga memberi pengetahuan buat adik-adik yang sedang belajar bagi mengetahui potensi dalam bidang pelajaran masing-masing, selain memupuk sikap positif dalam kehidupan.
Slot Public Speaking yang mencungkil keberanian dan kepetahan peserta dalam pengucapan awam juga menimbulkan keseronokan apabila ia dimulakan dengan pembahagian dadu diiringi lagu Nur Kasih. Setiap peserta nampak ceria namun gementar kerana bimbang jika terkena giliran mereka untuk membuat pengucapan awam.
Kehadiran adik-adik peserta yang ceria dan bersemangat seakan membawa satu harapan dalam kanvas perjuangan Nisa’ Negeri Terengganu. Tiap perjalanan bermula dengan satu langkah. Diharapkan Team Terengganu akan terus ke hadapan dalam merencana pelbagai aktiviti untuk dakwah islami khususnya buat remaja perempuan dan wanita pertengahan usia.
Program terdekat yang bakal dianjurkan oleh Nisa’ Malaysia ialah Konsert Untukmu Wanita dan penerbitan Majalah Nisa’. Semoga Nisa’ akan terus mengatur langkah dengan kemas dan menjadi wadah pilihan buat golongan remaja membentuk akhlak ceria dan berperibadi mulia.
Marching dik, jangan tak marching.. hihi..
Saf Nisa Negeri pun apa kurangnya, tanak kalah... :)
Sesi dialog bermula..
Dari kiri, Kak Ani, Kak Ros dan Cek Na..
Saf Nisa Pusat, dari kiri Sharifah, Roshidah dan Asyanti..
Akak Nisa' kita, dengan syarahan pendeknya, Cantik Itu Muda.. Tahniah kak. :)
Bacaan doa wehdah...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komen diterima:
Post a Comment